Friday 23 May 2014

Dia tidak kurang, cuma berbeza sahaja!

Teks: Junaida Mohd Jamil

Dua minggu kebelakangan ini, anak-anak sibuk dengan peperiksaan pertengahan penggal petama. Sebagai ibu, saya juga tidak menang tangan memastikan mereka mengulangkaji secukupnya. Kadang kala, terasa seperti lebih sudu dari kuah pun ada. Tak apa lah, asalkan umi puas hati kerana telah berusaha menunjuk ajar. Selebihnya, berserah saja lah.. 

Tahun ini, kedua-dua anak saya telah bersekolah; si kakak darjah dua manakala si angah darjah satu. Apa yang saya ingin kongsikan kali ini ialah bagaimana persepsi saya telah berubah pada si angah. Satu perkara yang telah menyedarkan saya. Ia memberitahu saya bahawa pandangan saya terhadapnya selama ini sama sekali silap. Angah tidak kurang apa-apa, cuma angah tidak sama dengan kakak! Sememangnya begitu, kerana Allah jadikan semua manusia ini unik. Astaghfirullah, ampunkan saya kerana terlupa tentang kekuasaanMU yang satu ini.

Sebelum ini, dek selalu risau dengan prestasi subjek islami si angah, ada kalanya saya menjadi pasrah. Kami selalu mengulangkaji sambil bermain teka teki mengenai perkataan-perkataan bahasa arab di dalam kereta semasa menuju ke sekolah. Hampir setiap hari kami ulang teka teki yang sama. Namun, ia seperti susah untuk lekat di kepala angah. Berlainan dengan si kakak, setiap kali habis sesi 'permainan', dia akan ingat apa yang diajar. Dan ini lah pendekatan ulang kaji saya dengan si kakak sejak dia darjah satu lagi.

Begitu juga dengan pembelajaran di rumah. Subjek sirah, akidah, feqah dan bahasa arab sukar untuk angah fahami walaupun di ulang berkali-kali. Kerap juga sesi ulangkaji diakhiri dengan air mata angah (maafkan umi..). Dikala kerisauan itu, saya terpandangkan flash card tulisan jawi si adik bongsu (bongsu untuk masa ini :)). Tiba-tiba hati saya tergerak untuk buatkan angah flash card . Saya mulakan dengan warna-warna dalam bahasa arab. Menggunakan kertas warna warni, saya minta angah memotong kertas untk flash cardnya. Begitu teruja dia membantu menyiapkannya. Siap sahaja, kami mulakan hafalan menggunakan flash card. Seperti tidak percaya, angah mampu menghafalnya dalam mada 20 minit! Fokus, minat dan usaha yang ditunjukkan untuk mengahafal sama sekali berbeza. Saya teruskan lagi usaha dengan perkataan bahasa arab untuk pangkat di dalam keluarga pula. Kami melukis diagram carta keluarga kami bersama-sama. Saya tidak lagi guna kan perkataan datuk, nenek, ibu, bapa, kakak dan abang tetapi saya gantikan dengan Tok Bah & Tok Mi, Umi & Ayah, Kakak & Umar. Alhamdulillah, strategi ini juga menjadi. Mungkin contoh yang digunakan terasa relevan dengannnya. Dari situ, baru dia terlihat kepentingan ilmu yang disampaikan.

Perbezaan angah dengan kakak menyedarkan umi untuk lebih kreatif. Kakak lebih mudah menerima penyampaian secara lisan. Angah pula memerlukan pendekatan secara visual dan "fun". Sememangnya kakak lebih suka membaca, manakala angah pula sangat suka bermain dan bergurau. Warna warni anak-anak umi ini ialah corak yang cantik sebenarnya. Semoga umi terus dianugerahkanNya kesempatan masa untuk terus gigih dan lebih kreatif dalam mendidik kalian.



No comments:

Post a Comment