Saturday 12 April 2014

Permulaan Sebuah Perjalanan Baru..


Teks: Junaida Mohd Jamil


Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera untuk sahabat-sahabat sekalian, 


Hari ini bermulanya perjalanan baru saya ke alam blog; setelah hampir lima bulan mengikut rapat perkembangan Puan Masayu Ahmad di Facebook.  Akhirnya, Tuhan kurniakan saya kekuatan untuk bulatkan hati dan mengambil keputusan menyertai kelas online kendalian Puan Masayu Ahmad bersama gurunya Puan Aishah Hussein. Kedua-dua tokoh ini adalah idola saya. Saya mengenali Puan Masayu melalui bekas guru saya di SMKA Naim Lilbanat yang juga idola saya iaitu “teacher” Nik Eliani Nik Nawi. Saya andaikan mereka bertiga asalnya seperti saya sekarang juga, tetapi keputusan yang diambil untuk berhijrah nyata membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam menyumbang bakti kepada masyarakat dengan keunikan cara mereka yang tersendiri.


Matlamat saya meghadiri kelas ini ialah untuk menjayakan cita-cita saya dalam menjadi muslimah yang lebih baik dalam menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat. Saya akui, sebagai ibu yang bekerja di pejabat, kekangan masa menghadkan saya untuk menguruskan anak-anak sepenuhnya. Apatah lagi untuk berkongsi ilmu(walaupun tidak seberapa) dengan masyarakat. Anak-anak pula semakin mereka membesar, semakin mereka memerlukan perhatian dan sokongan daripada ibunya. Kerap juga hati saya menangis tidak rela tatkala terpaksa meninggalkan anak yang kerap tidak sihat kepada pengasuh. Begitu juga saya diruntun perasaan bersalah tatkala melihat keputusan peperiksaan anak yang tidak memuaskan. Tidak sekali-kali saya salahkan permata hati kesayangan saya itu, tetapi saya kecewa apabila saya tidak berkesempatan menemani dan membimbing dia mengulangkaji di  saat-saat menghadapi peperiksaan, sebagaimana ibu saya sentiasa berada di sisi saya sewaktu saya kecil dahulu. Hati saya juga kadang-kadang cemburu apabila pengasuh lebih banyak menyedari perubahan dan perkembangan tentang anak-anak saya, lebih daripada saya, si ibu sendiri.


Namun, saya sedar tuntutan tanggungjawab di pejabat juga adalah besar. Tambahan pula majikan saya adalah pembekal perkhidmatan telekomunikasi unggul yang mana ianya memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa kemajuan teknologi maklumat negara. Sememangnya itu juga satu perjuangan suci! Beruntungnya saya, sedar tidak sedar sudah hampir 12 tahun saya berkhidmat. Selama itu jugalah pelbagai kemudahan saya nikmati. Rezeki yang datang pula tidak pernah putus. Walaubagaimanapun, perasaan saya kadang kala berbelah bagi apabila keluarga juga memerlukan perhatian yang lebih daripada saya.


Menyedari hakikat ini, saya mulakan langkah baru ini ke arah perubahan yang lebik baik. Disebabkan saya sangat menyukai batik sutera kelantan, saya akan adakan satu butik batik sutera di dalam blog ini. Sememangnya batik Kelantan sangat cantik di mata saya. Saya yakin anda di luar sana juga mengaguminya. Saya amat minat dengan batik sutera kerana selain daripada cantik, fesyennya juga tidak pernah luput. Ia kekal dalam nilai tradisi dan kesopanan dengan inovasi corak moden terkini. Yang paling penting, ia sangat selesa bila dipakai. Walaubagaimanapun, sebagaimana nilai keunikannya, begitulah juga dengan harganya. Secara relatif ia sedikit tinggi jika dibandingkan dengan fabrik lain. Tetapi harganya sangat berbaloi dengan kualiti. Jika ada di antara sahabat ke negeri Kelantan, saya nasihatkan jangan sekali-kali lupa untuk singgah di Pasar Siti Khadijah. Sekalipun tidak mahu membeli, anda mesti menyaksikan sendiri keindahan batik sutera di sana. Inovasi corak dan warna yang pada setiap kain yang dipamerkan, pasti memberikan pengalaman yang tidak pernah anda tergambar sebelum ini. Pengalaman ini tidak boleh didapati di mana-mana. Oleh sebab itu, saya ingin membawa batik Kelantan ini kepada rakan-rakan yang berminat untuk memilikinya dengan harga yang mampu milik. Sahabat semua tidak perlu ke Kelantan untuk memiliki batik dengan tawaran harga yang sama. Jangan lupa nantikan entri special koleksi batik saya ya! Juga tentang tips penjagaan, cara melihat corak pada kain batik dan cadangan cara untuk menjahitnya.  


Selain daripada itu, saya berazam untuk hiasi blog saya ini dengan tips jahitan baju kurung, tudung, jubah, hiasan hantaran perkahwinan/pertunangan dan kemahiran-kemahiran kecil saya yang lain. Saya juga ingin berkongsi resepi mudah versi campak dan siap yang saya kira agak istimewa juga, turun temurun dari ibu dan ibu mertua saya.  


Akhir kata, semoga usaha baru saya ini diredhai olehNya. Sesungguhnya bukan urusan saya untuk menentukan kejayaan, namun usaha harus saya mulakan dengan doa dan niat yang ikhlas. Selebihnya berserah sahaja kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan sememangnya Dia jugalah yang Maha Adil.


Doakan saya berjaya hasilkan entry berguna seterusnya ya! Amin.. Insyaallah boleh!

No comments:

Post a Comment